Anda Mahu Hidup Berjaya dan Berkat? Baca Previu Buku Ini oleh Ustaz Asraff Ayob & Dr Azizan Osman

Anda pernah duduk di satu sudut di ruang bilik anda dan berfikir merenung diri serta meratapi kehidupan anda yang tidak ada perubahan?

Anda pernah duduk berfikir apakah sebabnya hidup anda tidak tenang, tidak gembira, tidak bahagia?

Anda pernah tidak tidur malam berbaring sambil meletakkan belakang tangan ke dahi risau tentang tekanan kewangan atau tekanan hidup yang anda sedang lalui?

Anda rasa hidup anda sangat kucar-kacir, masalah datang bertubi-tubi kepada anda dan anda sudah hampir berputus asa dengan diri anda. Dan anda tidak faham kenapa anda sentiasa menjadi ‘mangsa’ kepada keadaan. Kenapa anda sentiasa berada di tempat yang salah pada waktu yang salah? Kenapa anda dianiaya?

Itulah apa yang saya pernah lalui.

Jalan jauh dan penuh dengan liku yang saya pernah redah satu masa dahulu. Teraba-raba mencari arah dan pegangan umpama berjalan di malam kelam melalui jalan yang tidak tahu di mana penghujungnya serta apakah ‘surprise’ yang akan datang menjelma.

Pernah alami perasaan begitu? Saya pernah laluinya berulang-ulang kali satu masa dahulu.

Perjalanan hidup saya penuh dengan onak dan duri. Perkahwinan saya yang terdahulu adalah porak-peranda. Pernah cuba pelbagai perniagaan tetapi gagal. Pernah hampir jadi bankrap. Tahap kewangan yang melarat dan pelbagai cabaran pada awal waktu saya mula menceburi perniagaan.

Saya dahulu percaya bahawa jika aku kaya, aku akan mampu beli segalanya termasuk kasih sayang, masa dan impian. Ia adalah benar sebahagiannya, tetapi tidak benar jika anda tidak mempunyai kefahaman yang tinggi tentang keseimbangan hidup.

Saya melalui fasa hidup jatuh bangun yang ‘intensif’.

Masalah tentang perjalanan kehidupan sebelum anda jumpa jalan yang benar adalah anda akan cuba bina then jatuh, jatuh, jatuh, bangun sikit, jatuh, jatuh, jatuh, jatuh lagi sampai anda hampir tidak mampu bangkit lagi. Dan hanya yang benar-benar kuat dan teguh pegangannya akan mampu untuk bangkit semula walaupun kita tidak tahu apa yang ada di hadapan yang akan buat kita jatuh semula.

Saya mula berniaga sejak di UiTM ketika zaman Diploma lagi untuk mendapatkan duit belanja. Cukuplah untuk sara diri kerana keluarga saya bukan orang senang.

Dulu saya fikir, mak dan ayah saya bukan orang kaya sebab itulah mereka hanya dapat menyara saya, bergolok bergadai menyekolahkan kami 5 beradik sekadarnya sehingga ke tahap yang kami mampu.

Tetapi hari ini saya sedar, bukan mak dan ayah saya yang tidak mampu berikan lebih banyak lagi wang kepada saya kerana ayah saya bekerja sebagai juruteknik Jabatan Parit dan Tali Air (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran), tetapi sebenarnya, Tuhan sengaja menjadikan keadaan saya begitu untuk melihat bagaimana saya bangkit menjadi seseorang yang mengatasi situasi tersebut serta membanggakan mak dan ayah saya satu masa nanti.

Dan hari ini, anak-anak saya tidak diajar bahawa kita kaya dan mereka boleh belanja sesuka hati mereka. Anak-anak saya perlu menghabiskan pelajaran di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Agama sebelah petangnya. Mereka perlu score UPSR mereka dengan cemerlang bukan kerana mereka mesti dapat 6A atau 17A, tetapi ia menunjukkan bahawa mereka adalah komited dan bertanggungjawab untuk beri yang terbaik di dalam tugasan mereka.

Dan untuk Sekolah Menengah mereka, saya tidak hantar mereka ke Sekolah Antarabangsa walaupun kami Insya Allah mampu, tetapi mereka dihantar ke Madrasah Pondok di kawasan perkampungan susah. Kenapa? Kerana itu namanya proses didikan hati. Dan saya percaya dengan cara mendidik anak jauh dari kemewahan, supaya mereka tahu bahawa mereka bertanggungjawab membina tahap kehidupan yang mereka mahukan satu hari nanti dengan bimbingan kami, ibu bapa mereka Insya Allah.

Kunci kepada segala kebahagiaan, ketenangan, keberkatan dan kejayaan dunia akhirat adalah terletak kepada hati atau bahasa yang saya selalu sebut di dalam seminar Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) saya iaitu Kolam Jiwa.

Saya umpamakan Kolam Jiwa atau hati manusia ini adalah umpama Magnet. Bayangkan kolam jiwa ini umpama satu kolam takungan air dan airnya penuh dengan sampah sarap, kekotoran, bau busuk seperti bangkai dan berkeladak hitam. Apakah jenis makhluk yang akan datang dan tinggal di dalamnya atau mendekatinya? Pasti makhluk yang suka kepada keadaan yang kotor dan busuk bukan? Dan ianya akan dijauhi oleh makhluk dan manusia yang tidak suka kepada bau busuk dan kekotoran serta ia boleh mendatangkan punca pelbagai jenis penyakit.

Tetapi cuba bayangkan jika kolam tersebut airnya adalah bersih, sentiasa bersih dan lagi bagus jika ia merupakan kolam tadahan air bersih yang bakal disalurkan untuk mengairi kawasan pertanian. Ia menjadi punca air kepada ramai manusia. Bukankah kolam tersebut akan menarik banyak kebaikan kepadanya? Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada ramai orang lain dan bukan sekadar hidup mementingkan dirinya. Kolam jiwa yang bersih bukan sahaja akan memberikan ketenangan atau kebahagiaan kepada pemiliknya tetapi ia boleh menjadi asbab kepada kebahagiaan ramai orang lain.

Kebangkitan hidup saya yang sebenar bukanlah ketika saya berjaya mencapai perniagaan pengiklanan dan pemasaran saya bernilai jutaan ringgit sejak 2001. Itu mungkin kebangkitan dari segi kewangan, tetapi belum mencapai tahap kebahagiaan dan merasai keberkatanNya.

Ketika itu, syarikat saya menguruskan projek pengiklanan dan pemasaran untuk prinsipal saya bagi pihak syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia, TMNet (waktu itu), Celcom dan Digi di Malaysia dan Singtel serta Starhub di Singapura. Saya juga menguruskan projek pemasaran untuk syarikat perbankan seperti HSBC Bank dan Standard Chartered serta projek-projek lain yang portfolionya mencecah jutaan ringgit setahun dari 2001-2008.

Alhamdulillah, ia adalah kejayaan demi kejayaan bagi saya, travel dalam dan luar negara, bercakap di konvensyen luar negara, duduk di hotel-hotel 6-7 star di banyak negara seperti Dubai, London, Sydney, Melbourne, Jakarta, Hong Kong, Macau, Shenzen dan berada di kalangan mereka yang berjaya dari segi kewangan. Ia merupakan fasa lonjakan hidup dan kewangan yang mampu melekakan jiwa yang kurang kuat dekat denganNya.

Ketika itu, of course ia berjaya secara lahiriah dan material serta menjadi breakthrough buat bisnes saya kerana sebelum tahun 2001, perniagaan saya adalah sangat teruk. Itu fasa pertama beberapa tahun saya mula menceburi perniagaan secara full-time. Mereka yang pernah membaca kisah saya pasti tahu bagaimana saya mencuba pelbagai jenis perniagaan tetapi jatuh bangun bersilih ganti sehingga hampir tergadai rumah mak dan ayah kepada skim cepat kaya Y2K pada tahun 2000 dan pelbagai skim cepat kayap lain antaranya projek burung unta di Australia katanya. Akhirnya, burung ke mana, unta pun ke mana.

Fasa kedua perniagaan saya dari tahun 2001 ke awal tahun 2008 adalah penuh dengan kesibukan bekerja dari awal pagi sehingga balik pukul 2 atau 3 pagi dan kemudian keluar semula seawal 6 pagi. Ketika itu, rezeki kewangan telah mula menerjah masuk melimpah ruah, pengiktirafan prestasi, limpahan kewangan datang dengan banyaknya tetapi jiwa saya merasa kosong. Solat bukan keutamaan saya, bersyukur jauh sekali, sedekah sekali-sekala, berselawat bila ingat dan ia semakin hari semakin parah.

Saya dibesarkan dengan didikan awal agama yang agak bagus dari ayah dan mak saya selain dari bersekolah agama Johor walaupun paginya saya bersekolah Cina.

Ketika kecil, solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu adalah sesuatu yang ayah saya akan seret saya untuk lakukan. Ayah saya juga suka menghadiri majlis-majlis zikir dan ia sedikit sebanyak menjadi kebiasaan saya ketika kecil dan membesar. Saya juga aktif berguru mendekati ilmu tauhid untuk kenal siapa Tuhan kita dan ilmu tasawuf untuk kenal siapa diri kita selain ilmu fekah tentang bagaimana untuk beramal.

Itulah proses didikan awal saya. Jadi, bila berada di dalam keadaan yang berjaya secara material tetapi jiwa saya kosong, ia semakin lama semakin menyesakkan jiwa. Hati menangis selalu rindu kepadaNya dan kepada Rasulullah saw.

Kemudian, saya mula berfikir-fikir dan berkira tentang erti kejayaan yang saya raih ketika itu. Ia adalah rasa kosong di dalam.

Pada tahun 2007, saya telah mencapai antara tahap tertinggi di dalam perniagaan saya bila saya mendapat pengiktirafan menjadi Ketua Organisasi Malaysia di bawah prinsipal saya menguruskan hampir 1,500 orang di bawah organisasi kami.

Ia adalah satu pencapaian yang besar bagi organisasi prinsipal saya yang memiliki beribu pejabat di United Kingdom serta mempunyai perniagaan di hampir 25 buah negara ketika itu. Saya menjadi satu-satunya anak Melayu yang pernah mencapai tahap tersebut. Saya hanya ada satu langkah lagi untuk mencapai impian saya menjadi Vice President Asia untuk organisasi prinsipal saya. Pencapaian yang menjadi impian ramai ketika itu. Dan ia bakal menjadikan saya yang pertama di dunia bukan sekadar jutawan tetapi pengiktirafan dan kuasa.

Pada masa yang sama, jiwa saya semakin kosong dan jauh dariNya.

Pada awal tahun 2008, hati saya semakin rindu kepadaNya dan kesibukan saya tidak memungkinkan saya mendekatiNya secara total. Dan sejak saya berniaga dari tahun 2001 sehingga waktu itu, saya gagal mengimbangkan kehidupan dan perniagaan saya. Perkahwinan saya ketika itu juga sudah hampir ke penghujungnya.

Mungkin pasti ada yang membaca ini akan berkata, “Sebab itulah aku tak nak kaya, nani lupa diri!”, “Sebab itulah aku tak nak berniaga, nanti tidak ada masa dengan keluarga” dan pelbagai persepsi negatif atau salah faham.

Itu jugalah persepsi saya ketika itu. Saya merasakan saya seorang yang gagal. Gagal mengimbangi hidup saya. Dan saya fikir, semuanya ini perlu dibetulkan.

Lebih 7 tahun sibuk menjalankan perniagaan ketika itu membuatkan saya tidak pernah bercuti panjang. Dan bagi saya, sesiapa yang bercuti adalah orang yang tidak mementingkan kerjaya mereka. Itu persepsi saya. Tetapi pada awal tahun 2008, saya mula merasa sangat penat, ‘exhausted’. Saya rasa tenaga emosi saya telah kekeringan. Saya rasa jiwa saya sangat jiwa gersang. Saya rasa saya perlukan sedikit ruang untuk diri saya. Tetapi tekanan perniagaan saya ketika itu adalah membina organisasi saya ke tahap yang lebih tinggi serta melayakkan diri saya menjadi Vice President.

Keretakan perhubungan rumah tangga saya ketika itu menambah tekanan saya dan sesuatu telah berlaku ketika itu di dalam organisasi saya. Saya difitnah oleh orang kuat saya dan paling parahnya kesetiaan saya di dalam organisasi saya dipersoalkan oleh pihak atasan saya iaitu mentor saya selama saya bersama organisasi tersebut. Ia satu perkara yang mengecewakan ketika itu bila kesetiaan saya selama beberapa tahun dipersoalkan.

Di situlah antara saat-saat yang tidak dapat saya lupakan. Segalanya berlaku bertimpa-timpa serentak seperti dilanggar trelar berkali-kali. Rasa dikhianati, rasa kecewa, rasa tidak dihargai dan pelbagai perasaan yang cukup menghiris hati. Pernah rasa begitu?

Dan ketika itu, pertama kali selama saya menguruskan perniagaan pengiklanan dan pemasaran serta sebagai orang yang paling penting mengetuai sebuah divisi yang besar, saya menghilangkan diri. Sesuatu yang saya tidak pernah lakukan selama 7 tahun saya membina perniagaan saya dari kosong hingga ke tahap tersebut. Ia benar-benar mencabar diri saya.

Saya menghilangkan diri untuk hampir 4 bulan. Saya bersendirian setiap hari. Saya ‘frust’ seperti seorang yang putus cinta dan ditinggalkan oleh seorang kekasih hatinya.

Saya rasa kehilangan dan lost. Setiap hari saya menghisap 2 ke 3 kotak rokok. Saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Saya tidak mahu menjawab sebarang panggilan.

Bila saya menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi, seluruh perniagaan saya dan kewangan saya melibatkan syarikat saya telah dibekukan oleh prinsipal saya kerana itu terma kontrak syarikat kami. Ini menambah lagi kekecewaan saya. Saya hanya survive dengan sedikit duit simpanan yang saya ada.

Ketika itu, saya mula mencari diri saya dan mencari erti hidup saya. Ia satu fasa yang sukar.

Saya mula mendekati Allah swt semula. Saya mula menjaga solat saya serta menghayatinya. Saya mula melakukan solat taubat setiap malam, menangis, menyesali setiap kesilapan saya. Saya mula bangun sepertiga malam membuat solat tahajud sujud kepadaNya. Saya mula mengamalkan kembali zikir-zikir serta membaca Al-Quran setiap pagi dan petang. Saya mula duduk lama selepas solat fardhu. Saya mula mencari jalan dan cahaya untuk kembali kepadaNya. Saya memohon bimbinganNya.

Semakin hari jiwa saya semakin tenang. Semakin hari, hati saya semakin kuat pertautan dan keyakinan saya kepadaNya. Saya mula muhasabah perjalanan hidup saya selama ini dan betapa jauhnya saya denganNya. Saya bukan seorang yang jahat tetapi saya pun bukan seorang yang baik kepadaNya sedangkan Dia sangat baik kepada saya.

Dalam tempoh 4 bulan tersebut, saya adalah seperti seorang yang bersuluk mengasingkan diri mencari cintaNya. Saya semakin nampak proses didikan hati dariNya kepada saya. Saya semakin nampak kesilapan saya selama ini dan saya semakin jelas perubahan yang saya mahu lakukan agar saya dapat mendekatiNya sentiasa.

Ketika itu, saya mula mendisiplinkan diri saya dengan beberapa perkara asas yang saya wajib lakukan setiap hari agar saya menjaga hubungan saya denganNya. Kemudiannya, perkara-perkara asas tersebut menjadi antara formula penting yang membawa kehidupan saya, perniagaan dan kewangan saya serta kejayaan saya ke tahap yang lebih tinggi lagi tanpa perlu jauh dariNya. Malah, semakin saya mendekatiNya, saya dapati perjalanan hidup saya semakin dipermudahkan.

Pada pertengahan tahun 2008, saya telah membuat keputusan untuk membatalkan kontrak perniagaan saya dengan prinsipal saya yang selama ini syarikat saya bernaung di bawah mereka. Itu menjadikan saya hampir bankrap. Tetapi saya nekad untuk membina syarikat agensi pengiklanan dan pemasaran saya sendiri dengan pengalaman saya bertahun-tahun membantu meletupkan pelbagai kempen pemasaran strategik di belakang tabir.

Ketika itu, saya kembali bermula seorang dan saya perlu bermula semula dari kosong sebagaimana pada awal tahun 2001. Tetapi berbezanya kali ini ialah Alhamdulillah, saya telah mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup untuk membina segalanya semula tetapi kali ini dengan kekuatan perhubungan yang lebih baik serta bimbingan dariNya.

Segalanya berlaku dengan pantas. Selepas 7 tahun ‘tragedi’ yang berlaku kepada saya, saya bersyukur Alhamdulillah perniagaan kami telah mencapai tahap yang berkali ganda lebih baik dari dulu. Kami mempunyai perniagaan dan pelaburan di dalam pelbagai jenis industri termasuk agensi pengiklanan berakreditasi 4A, syarikat yang terlibat di dalam pengurusan acara, syarikat latihan dan kejurulatihan yang menjadi ‘passion’ saya untuk membantu ramai usahawan berjaya dunia dan akhirat dengan pengalaman saya selama ini, syarikat pelaburan hartanah, syarikat pengurusan dan perkhidmatan korporat, syarikat penerbitan dan terbaru penubuhan Kolej Keusahawanan saya sendiri di mana nilaiannya mencecah 9 angka.

Bukan itu sahaja, saya hidup lebih bahagia hari ini bersama keluarga saya. Walaupun perkahwinan pertama saya gagal, tetapi Alhamdulillah Allah swt beri saya peluang untuk membina keluarga bahagia dengan isteri saya sekarang bersama anak-anak saya dari perkahwinan dahulu dan sekarang.

Dan perkara yang paling best tentang hidup saya hari ini adalah saya bersyukur dapat berkongsi manfaat kepada ramai orang lain yang ingin keluar dari kesusahan hidup atau ingin tingkatkan taraf kehidupan dan kewangan seperti saya satu masa dahulu tetapi dengan berpegang kepada 21 formula penting yang saya kongsikan di dalam dewan-dewan seminar saya terutamanya seminar Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) dan seminar Intensif Rahsia Kuasa Minda Jutawan (RKMJ).

21 formula yang dikongsikan di dalam bab-bab seterusnya dengan olahan bahasa Ustaz Mohammad Ashraff Ayub mengikut aplikasi dirinya selepas mempelajarinya dari seminar IMKK adalah agar ia mudah difahami oleh anda. Dan setiap formula ini sebenarnya berasaskan daripada Al-Quran dan Sunnah serta hadis-hadis Nabi saw dan Ustaz Ashraf sebagai seorang yang menghafal Al-Quran serta kefahaman ilmu agama yang tinggi, telah dapat membantu saya menjelaskan aplikasi formula-formula ini sebagaimana yang saya kongsikan tetapi bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis Insya Allah.

Tetapi apa yang penting adalah bagaimana kita mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian agar kita mencapai kejayaan dan redhaNya dunia akhirat.

Ini bukan buku agama tetapi ia buku formula untuk menghidupkan hati dan memperbaiki serta mencuci kolam jiwa kita agar hati kita sentiasa mendekati Allah swt dan lantaran itu akan menarik lebih banyak kasih sayangNya serta redhaNya.

Bila Allah swt redha dan kasih kepada kita menjadi keutamaan hidup kita, saya dapati hidup kita akan menjadi lebih tenang dan keberkatan akan meluru datang melimpah ruah dalam hidup kita serta di dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Saya berharap anda hayati setiap formula ini sehingga habis dan jadikanlah ia pegangan hidup anda dan keluarga anda. Mudah-mudahan dengan menghayatinya, hidup kita semua akan lebih berjaya dunia dan akhirat Insya Allah.

Mari kita bacakan surah Al-Fatihah buat baginda Rasulullah saw, guru-guru yang membimbing saya selama ini, ibu bapa kita semua, ahli keluarga kita yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia lebih awal dari kita serta buat diri kita sendiri. Semoga Allah swt memberkati ilmu ini untuk kejayaan anda dunia dan akhirat. Saya halalkan ilmu ini Insya Allah. Al-Fatihah.

Semua mereka yang berjaya mempunyai beberapa persamaan dan antaranya ialah, mereka mempunyai disiplin atau rutin yang mendekatkan mereka kepada kejayaan mereka serta impian mereka.

Formula-formula yang dikongsikan ini jika diamalkan dengan konsisten, Insya Allah mampu membantu anda untuk memperbaiki kolam jiwa anda serta menjadikan hidup anda lebih bahagia, sihat, kaya, berjaya dan diberkatiNya.

Semoga berkat istiqomah anda mengamalkan formula-formula ini dan menjadikan ia sebagai kunci pegangan hidup anda. Ia bukan sahaja dapat memperbaiki hubungan anda dengan Allah swt tetapi juga dapat membina kehidupan anda yang luar biasa. Anda dapat memberi manfaat serta inspirasi kepada ramai orang lain terutamanya keluarga dan generasi seterusnya.

Azizan Osman

21 Januari 2015

New York, USA

————————————–

Preview ini dipetik dari prakata buku 21 Formula Hidup Luar Biasa.

Saya sendiri dah beli dan sedang baca – memang mengujakan.

Bukan setakat bacaan ye, jadikan panduan hidup dan cuba berubah berdikit-dikit dengan panduan yang diberi.

6 thoughts on “Anda Mahu Hidup Berjaya dan Berkat? Baca Previu Buku Ini oleh Ustaz Asraff Ayob & Dr Azizan Osman”

  1. Bagus jalan cerita yang terdapat dalam buku ini, ia menceritakan pengalaman hidup, berbisnes dan tidak meninggalkan unsur keagamaan dan nasihat. Dalam berbisnes ada ilmu dan pengajaran agama yang diperolehi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *